Dalam pembelian hartanah, faktor harga menjadi penentu selain lokasi dan kualiti serta jenis rumah yang ditawarkan.
Sudah pasti kemampuan atau kuasa beli menentukan peruntukan maksimum
bagi memiliki rumah sendiri tidak kiralah sama ada ia rumah pertama atau
seterusnya mahu pun rumah yang dilelong.
Atas inisiatif mahu
ramai individu membeli hartanah sendiri, kerajaan telah menetapkan
syarat peruntukan kuota Bumiputera bagi setiap pembangunan kediaman oleh
pemaju yang dilihat sedikit sebanyak membolehkan pembeli memperoleh
diskaun ke atas belian mereka.
Namun, ia tidak sepenuhnya membantu apabila berlaku lambakan rumah Bumiputera yang tidak dibeli saban tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif IM Global Property Consultants Sdn Bhd
merangkap Presiden Institut Pengurus Harta Profesional Malaysia (MIPPM),
Ishak Ismail berkata, apa yang dilihat ketika ini bukan saja unit
ditawarkan tidak dibeli atas faktor kemampuan, tetapi kualiti unit
kediaman ditawarkan antara isu yang mengekang belian.
Katanya,
kebanyakan pemaju memberikan unit yang bukan menjadi keutamaan sama ada
lokasi rumah yang kurang strategik berbanding unit lain dalam sesuatu
pembangunan.
“Selaku pembeli, sudah pastilah mereka perlu membuat pilihan atas setiap peruntukan bagi kediaman.
Jika unit yang diletakkan dalam kuota Bumiputera, ia perlu menepati
kehendak pembeli dan bukan sekadar memilih secara rawak dan memberikan
manfaat yang kurang kepada pengguna.
“Tidak dinafikan faktor kemampuan menjadi kekangan bagi setiap individu dalam memiliki rumah.
Jika dilihat purata pendapatan RM5,000, seseorang itu hanya mampu
membeli hartanah dalam lingkungan RM200,000 hingga RM300,000 berbanding
harga pasaran RM400,000 hingga RM500,000 yang boleh dibeli kelompok
dengan pendapatan RM8,000 sebulan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Beliau berkata, oleh sebab itu pemaju juga perlu bersikap adil dalam
meletakkan unit menerusi kuota Bumiputera kerana jika ia tidak menepati
cita rasa pembeli, sudah pasti tidak akan menemui jalan penyelesaian
sungguh pun unit terbabit sudah diberi pelepasan ke atas pembeli bukan
Bumiputera selepas tempoh tertentu.
Ishak berkata, isu atau aduan mengenainya sering diperkatakan pembeli dan ia menjadi faktor mengapa ada unit yang tidak laku.
“Selaku badan yang selalu berhadapan dengan pembeli, ini adalah antara apa yang diajukan mereka.
Bukan mudah untuk pembeli memperuntukkan jumlah wang tertentu
bagi memiliki rumah selain bebanan hutang hanya untuk unit yang kurang
memuaskan.
“Ada juga pembeli yang berkemampuan sekali pun mempersoalkan isu sama,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03
sumber http://www.hmetro.com.my/articles/LambakanrumahBumiputera/Article
Virtual Reality
5 years ago
0 comments:
Post a Comment